Pages

Saturday, 1 September 2012

Diet: Satu Perubahan Dalam Rutin Kehidupan

Gambar di depan rumah family di kampung.
Selama ini, tidak pernah terfikir di minda saya untuk berdiet. Berdiet akan menyebabkan saya lapar. Bila lapar, sudah tentu itu satu perkara yang tidak menyeronokkan. Jadi, berdiet itu membuang masa, merugikan dan tidak berfaeda pada pandangan saya.

Sebelum ini, saya pernah membeli pil 'minyak' dengan niat untuk menguruskan badan. Lebih tepat, menurunkan berat badan. Pil ini saya beli 30 biji (sekotak) dengan harga RM50. Farmasi yang menjual pil ini mendakwa, pil ini akan membuang minyak-minyak dari pemakanan dan dari dalam tubuh kita. Kesan sampingannya, apabila membuang najis besar, ianya akan berminyak! Jadi, setiap kali mahu bersuci, terpaksa bawa sabun untuk membuang minyak. Leceh. Tidak nampak ada penurunan yang jelas hasil dari amalan produk pil ini. Usaha mahu menurunkan berat badan bersama pil ini terhenti di tengah jalan.

Bermula pada 21 Julai 2012, saya mula berdiet. Sebelum saya mulakan program diet ini, sememangnya hati berbelah bahagi. Bagaimana mungkin mahu meninggalkan nasi yang menjadi teman rapat sekian lama? Namun, penjual Alpha Lipid SDII itu mengatakan, tempoh 'puasa nasi' ini sekejap saja. Bila dah turun nanti, boleh makan nasi semula. Saya mula 'terkesan' dengan janjinya itu. Dalam tempoh menurunkan berat badan ini, saya cuba untuk 'mengurangkan' pengambilan karbohidrat seperti mana yang telah digariskan. 

Hari Jumaat, malam sebelum saya memulakan program diet ini, saya dan family makan di luar. Saya memesan masakan kegemaran saya, nasi goreng kampung. 

Isteri saya ajuk saya, 'hai.. kata nak diet?'. 

Saya menjawab spontan, 'program diet belum bermula. Esok pagi baru mula. Malam ni boleh makan lagi'. 
Nasi goreng kampung terus dinikmati dengan penuh selera.. sebelum 'berpisah' dengannya.

Keesokan pagi, bermulalah era baru dalam kehidupan. Buat julung kalinya, saya berdiet! Isteri saya memberi galakan untuk saya mengharungi program diet ini dengan menyatakan 'listkanlah masakan apa yang nak dimakan setiap hari'. Saya mengatakan akan membuat jadual menu masakan harian dan akan tampal di dapur. Begitu 'dahsyat' planning diet. Tetapi sampai ke hari ini, satu jadual pun tak terbuat, apatah lagi mahu ditampal di dapur. 

Cuma apa yang boleh dibuat adalah memastikan makanan larangan jangan di ambil. Hanya yang dibenarkan sahaja. Seminggu awal di dalam tempoh diet ini merupakan detik yang penting. Di ketika saya mengubah cara pemakanan saya, ianya juga mengubah cara hidup saya. Saya begitu berazam mahu bersukan. Seminggu awal ini saya penuhi dengan senaman, berjoging, bermain ping pong. Detik bersejarah tercipta lagi apabila saya memohon masuk ke Kelab Badminton di tempat kerja saya.

Episod seterusnya: selepas seminggu berdiet.

No comments:

Post a Comment